Kanak-kanak memiliki sikap dan sifat berbeza sehinggakan kita sukar untuk mengenali personaliti anak-anak kita. Adakala anak kita terlalu ceria dan lasak, kita gelarkan Hyper, Terlalu pendiam, kadang-kadang suka mengamuk dan menjerit. Adakah ia perkara biasa dalam perkembangan kanak-kanak??
APA PENTINGNYA MENGENALI PERSONALITI ANAK?
Kita selalu mendengat ayat-ayat ‘setiap anak adalah berbeza’, tetapi kita sebagai ibubapa mesti akan berasa curiga dan tertanya-tanya apabila anak-anak kita tidak menunjukkan ciri-ciri kanak-kanak yang ‘normal’. Ada anak-anak yang suka menangis, suka bersendiri, banyak berangan dan termenung, atau ada juga yang terlampau aktif atau hyper aktif.
Jika dipetik dari sebuah buku terkemuka ‘The Child Whisperer’, Penulis banyak menceritakan pengalamannya bersama kanak-kanak selama lebih 20 tahun, beliau mendapati bahawa kanak-kanak sebenarnya mengekspresikan dirinya melalui 4 personalit. Personaliti kanak-kanak ini dapat diperhatikan melalui kelakuan, pemikiran, perasaan mereka, atau ciri-ciri fizikal.
Apabila kita mula memahami personaliti anak, kita akan lebih terbuka dalam menerima sikapnya dan dapat mengatur strategi untuk mendidik mereka dari akar umbinya.
Zoom anak kita berada di personaliti jenis mana.
JENIS 1: CERIA
· Sifat: Sosial
· Personaliti: Riang dan rawak
· Keperluan Utama: Untuk memiliki ibu bapa yang menyeronokkan
· Kelebihan: Suka berkawan, cergas, periang, tidak mudah mengambil hati, gembira
· Kelemahan: Suka bercakap, sukar dipercayai, tidak tegas dalam keputusan
· Punca ‘Tantrum’: Mungkin anak anda tidak suka dikawal ketat, terlalu lama bersendiri, atau tidak selesa dengan keadaan yang terlampau serius.
· Cara Mengatasi ‘Tantrum’: Buat kejutan untuk anak anda, jalinkan hubungan seperti kawan, dan ‘enjoy’ masa bersama mereka.
Anak-anak Jenis 1 biasanya mempunyai aliran tenaga yang paling tinggi, pantas pergerakannya, dan nampak gembira dengan hidupnya. Mereka mempunyai keistimewaan semulajadi dalam memerhatikan keseronokan dari setiap sudut. Malah, semua benda boleh dijadikan permainan!
Mereka selalunya mempunyai pelbagai idea yang tidak putus-putus dan mereka amat menghargai sesuatu yang baru. Mereka juga tidak kekok untuk berjumpa dengan sesiapa.Jadi, apa kata daftarkan mereka ke sekolah tadika lebih awal kerana umumnya anak jenis ini memang suka dikeliling kawan-kawan.
Selalunya ibu bapa kepada anak jenis ini akan cepat kehausan tenaga dan keletihan kerana anak Jenis 1 perlu selalu ‘berhubungan’ dengan seseorang, walaupun semasa bermain. Walaubagaimanapun, cubalah mencari idea supaya mereka dapat menyalurkan tenaga melalui permainan yang menjana kreativiti mereka.
JENIS 2 : SENSITIF
· Sifat: Emosional
· Personaliti: Lemah lembut
· Keperluan Utama: Untuk memiliki ibu bapa dan keluarga yang saling menyayangi
· kelebihan: Halus, baik hati, mengambil berat, dan berhati-hati
· kelemahan: Pemalu, suka menangis, dan pengecut
· Punca ‘Tantrum’: Mungkin anak anda merasakan pendapatnya tidak didengari, kurang perhatian, atau keadaan tidak berjalan mengikut perancangannya.
· Cara Mengatasi ‘Tantrum’: Berlemah-lembut dengan mereka, beri masa untuk relaks, dan cuba ambil masa untuk mendengar luahan perasaan anak.
Keistimewaan anak Jenis 2 ini adalah tenaganya yang mengalir seperti air, bergerak secara stabil dalam kehidupan. Mereka berkebolehan untuk memerhatikan keadaan sekeliling dengan penuh terperinci dan suka membuat perancangan. Personaliti anak ini juga memberikan kesan yang menenangkan buat mereka yang mendampinginya.Mereka suka belajar dan bertanyakan soalan, tetapi kadangkala turut mempersoalkan kekurangan diri sendiri.
Ibu bapa yang memiliki anak jenis ini biasanya beranggapan bahawa anak mereka perlu lebih agresif dan sosial. Jika ibu bapa terlalu mendesak mereka untuk berkelakuan sedemikian, anak-anak berasa tidak selesa dan tidak yakin diri. Ini kerana mungkin mereka akan mempersoalkan apakah kesilapan lain lagi yang dilakukan oleh mereka. Maka, hormatilah keperluan mereka untuk menyendiri dan berilah sokongan terhadap ‘perancangan’ yang mereka miliki. Kedua-dua sifat ini adalah penentu dalam kejayaan mereka.
JENIS 3 : LINCAH
· Sikap: Fizikal
· Personaliti: Lincah, gigih
· Keperluan Utama: Untuk menyahut cabaran dan pengalaman baru dengan sokongan ibu bapa
· Kelebihan: Kuat, aktif, tidak mudah putus asa, energetic
· Kelemahan: Suka mengarah, bising, riuh, suka memaksa
· Punca ‘Tantrum’: Mungkin anak anda terasa pergerakannya terlalu disekat, kekurangan ruang untuk menyalurkan tenaga fizikalnya, dan asyik mendengar perkataan “Tidak” atau “Jangan”.
· Cara Mengatasi ‘Tantrum’: Beri galakan terhadap aktiviti fizikal mereka, biarkan mereka bergerak lincah dan meneroka persekitaran selagi tidak memudaratkan.
Anak-anak ini mempunyai jenis tenaga yang dinamik dan biasanya mudah beradaptasi. Keistimewaan mereka adalah sifat keazaman yang utuh dan biasanya aura ini dapat mempengaruhi mereka yang rapat dengannya untuk turut mencapai kejayaan.
Kalau boleh, anak-anak Jenis 3 lebih suka meneroka alam ini secara fizikal dan mereka mahu mencuba segalanya! Mereka amat sesuai diangkat sebagai pemimpin kerana mereka sangat mementingkan keputusan yang baik dalam segala hal.
Ibu bapa bagi anak jenis ini mungkin menganggap bahawa anak mereka ini bersikap hiperaktif dan perlu belajar untuk bertenang dan mengawal diri. Namun hakikatnya, personaliti anak ini dipenuhi dengan tenaga yang perlu dialirkan ke arah yang betul. Jika tidak, anak akan menjadi murung dan merosakkan semangat mereka.
Biasakan berkunjung ke tempat-tempat riadah seperti taman permainan dan padang supaya mereka dapat menghabiskan tenaga secara positif.
4. JENIS 4: SERIUS
· Sikap: Intelektual
· Personaliti: Tepat dan tidak berselindung
· Kelebihan: Efisyen, bertanggungjawab, analitikal, tersusun rapi
· Kelemahan: Suka mengkritik dan menilai seseorang, berlagak pandai .
· Punca ‘Tantrum’: Mungkin anak anda tidak suka diperlakukan seperti anak kecil, dimalukan dalam sesuatu hal, dan memerlukan masa untuk bersendirian dan fokus.
· Cara Mengatasi ‘Tantrum’: Hormati pendirian mereka, beri sokongan terhadap minat mereka, dan dengarkan pendapat atau idea mereka dengan teliti.
Personaliti anak yang satu ini mencerminkan jenis tenaga yang tersimpan rapi, tetapi reflektif. Keistimewaan mereka adalah sikap teliti yang menjadikan mereka dapat melihat secara logik. Sehinggakan, mungkin ada yang merasakan bahawa anak-anak ini terlalu matang berbanding usia mereka.
Anak-anak ini juga biasanya tidak begitu sosial kerana mereka tidak nampak sebarang keperluan terhadapnya, melainkan pada masa-masa tertentu. Namun anda tidak perlu risau kerana anak Jenis 4 ini biasanya mempunyai hubungan yang mendalam dengan beberapa orang yang mereka percayai.
Ibu bapa kepada anak-anak jenis ini biasanya beranggapan bahawa anak mereka tidak menikmati zaman kanak-kanak secukupnya kerana mereka kurang bermain dan lebih suka menyendiri. Tetapi sebenarnya, itulah yang diperlukan oleh mereka untuk membina jati diri. Dengan membenarkan mereka mempunyai ruang untuk diri sendiri, anak-anak akan lebih yakin untuk mencari keseimbangan dalam kehidupan harian mereka.





No comments:
Post a Comment